buletin fim

Program Pendedahan Industri Buka Peluang Pelajar FIM Terokai Operasi Hotel Sebenar

by | Jul 3, 2026 | Events-BM, News-BM

FARAH AYUNI ZULKEFLI

 

Seramai 28 pelajar dan staf Food Institute of Malaysia (FIM) telah menyertai Program Pendedahan Industri di Courtyard by Marriott Setia Alam, Selangor pada 29 Julai lalu bagi memahami operasi sebenar industri hospitaliti.

Program ini dianjurkan oleh FIM dengan diketuai oleh Ketua Program Diploma Pengurusan Perhotelan merangkap pensyarah, Nor Rafidah Adam.

Ia disertai pelajar daripada Diploma Pengurusan Perhotelan, Diploma Pengurusan Perkhidmatan Makanan, Diploma Pastri dan Bakeri dan Diploma Kulinari.

Program tersebut bertujuan membantu pelajar memahami operasi industri hotel, menghubungkan pembelajaran di dalam kelas dengan situasi sebenar di tempat kerja serta memberi gambaran mengenai peluang kerjaya dalam bidang hospitaliti.

Program dimulakan dengan sesi taklimat oleh Pengurus Sumber Manusia, Brenda May Palermo. Beliau berkongsi pelbagai tip sebagai persediaan memasuki alam pekerjaan termasuk cara menghasilkan resume yang baik, memilih gambar yang sesuai, serta teknik menghadiri temu duga.

Selepas sesi taklimat, pelajar dibawa melawat ke beberapa bahagian operasi hotel bagi melihat sendiri bagaimana setiap jabatan berfungsi. Antara lokasi yang dikunjungi ialah bahagian front office, housekeeping, food and beverage, banquet, kolam renang, pool bar, bilik penyimpanan uniform kakitangan dan dapur hotel.

Lawatan itu turut memberi peluang kepada pelajar memahami aliran kerja setiap jabatan serta peranan yang dimainkan dalam memastikan operasi hotel berjalan lancar.

Program diteruskan dengan sesi soal jawab bersama Chef de Cuisine, Firdaus Zamani. Beliau berkongsi pengalaman mengenai skop kerja seorang cef, cabaran bekerja dalam industri hotel serta kemahiran yang diperlukan untuk berjaya dalam bidang tersebut.

Beliau juga menerangkan secara terperinci mengenai pengalaman yang bakal diperoleh pelajar sekiranya menjalani latihan industri di hotel.

Selain itu, pihak Courtyard by Marriott Setia Alam turut memberi penerangan mengenai peluang latihan industri dan prospek kerjaya yang ditawarkan kepada pelajar.

Perkongsian tersebut membantu pelajar memahami dengan lebih jelas laluan kerjaya yang boleh diterokai selepas tamat pengajian.

Program diakhiri dengan sesi penyampaian cenderamata kepada pelajar yang berjaya menjawab soalan yang dikemukakan oleh pihak hotel.

Antara penerima cenderamata ialah Stone Alif Putera, Adam Haris Ahmad Jafri dan Nur Shakinah Mukaram, sebelum semua peserta merakamkan sesi bergambar sebagai penutup program.

Mengulas soal program tersebut, Nor Rafidah Adam yang mengetuai rombongan berasakan lawatan ini merupakan pengalaman yang penting buat para pelajar.

“Program ini melibatkan pelajar baharu dan juga pelajar yang bakal memulakan latihan industri.”

“Bagi pelajar semester satu, pendedahan ini dapat memberi gambaran awal tentang industri perhotelan. Sebelum ini, mereka hanya belajar secara teori dan melihat fasiliti seperti yang ada di institusi sahaja.”

“Melalui lawatan ini, mereka dapat melihat sendiri pelbagai jabatan yang wujud dalam industri hotel dan memahami bagaimana operasi sebenar dijalankan secara lebih ‘hands-on’,” katanya.

You cannot copy content of this page