Food Institute of Malaysia (FIM) dengan penuh rasa bangga mengucapkan tahniah kepada alumninya, Muhammad Syafiq Syahmi bin Saidon atas kejayaan cemerlang meraih pingat emas dan dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan Kategori Berpasukan dalam pertandingan berprestij Thailand Ultimate Chef Challenge (TUCC) 2026 yang berlangsung di Bangkok, Thailand.
Muhammad Syafiq Syahmi merupakan alumni Diploma Seni Kulinari (DCA), pengambilan September 2021 dan kini berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas kulinari antarabangsa bersama pasukan Lotus’s Malaysia.
Pasukan yang turut dianggotai oleh Chef Leo Wong dan Chef Yuventhiran Pillai A/L Arumugam Pillai itu mewakili Malaysia dalam pertandingan yang berlangsung dari 26 hingga 30 Mei 2026 sempena THAIFEX – Anuga Asia 2026 di IMPACT Muang Thong Thani, Bangkok.
Thailand Ultimate Chef Challenge (TUCC) merupakan antara pertandingan kulinari paling berprestij di Asia dan diiktiraf oleh World Association of Chefs’ Societies (WACS).
Edisi ke-12 pertandingan tersebut menghimpunkan lebih 400 cef profesional dari pelbagai negara untuk bersaing dalam pelbagai kategori yang menguji kemahiran, kreativiti dan inovasi kulinari.
Lebih membanggakan, pasukan Lotus’s Malaysia muncul sebagai satu-satunya pasukan yang dianugerahkan pingat emas dalam kategori berpasukan, sekali gus menewaskan pasukan-pasukan lain yang menerima pingat perak.
Pasukan tersebut turut dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan Kategori Berpasukan selepas mencatat markah kumulatif tertinggi dalam kategori berkenaan.
Dalam cabaran Asian Gourmet Challenge, pasukan Malaysia berjaya memikat hati para juri menerusi menu yang mengetengahkan keunikan warisan kulinari Malaysia dalam bentuk moden dan inovatif.
Antara hidangan yang dipersembahkan termasuk Salad Gulung Kerabu Pucuk Paku dengan Emulsi Kelapa Panggang, Mousseline Otak-otak Ikan Kembung bersama Sos Otak-otak, Sup Tom Yam dengan Mozaik Udang, Patty Kambing Diperap dalam Sos Rogan Josh, Ayam ‘Boxing’ bersama Kari Masala Hijau serta pencuci mulut Leum Kleun Lava dengan Semi-Freddo Teh Thai.
Kejayaan Muhammad Syafiq Syahmi membuktikan bahawa pendidikan dan latihan yang diterima di Food Institute of Malaysia mampu melahirkan graduan yang berdaya saing di peringkat global.
Pencapaian ini turut menjadi inspirasi kepada para pelajar FIM untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang kulinari.
