buletin fim

Program Ma’idah Wanita Madani Gabung Kemahiran Kulinari, Penghayatan Islam dan Keusahawanan

by | Jul 23, 2026 | Events-BM, News-BM

 

FARAH AYUNI ZULKEFLI

 

Program Ma’idah Wanita Madani memberi pendedahan kepada peserta dalam bidang kulinari, penghayatan Islam dan kemahiran keusahawanan menerusi pelbagai aktiviti sepanjang lima hari.

Program yang berlangsung bermula dari 12 hingga 16 Julai 2026 itu dianjurkan dengan kerjasama Food Institute of Malaysia (FIM) dan Yayasan Restu.

Majlis perasmian dan pelancaran program disempurnakan oleh Pn. Nurul Izzah Anwar pada 12 Julai lalu.

Beliau turut menyempurnakan acara pemotongan kek bersama wakil FIM dan Yayasan Restu sebagai simbolik pelancaran program berkenaan.

Program dimulakan dengan bacaan al-Quran dan doa, diikuti sesi tadabbur yang memfokuskan bacaan surah al-Fatihah.

Peserta kemudian mengikuti kelas kulinari yang merangkumi pelbagai teknik penyediaan makanan termasuk lasagna dan cannelloni.

Dalam program berkenaan, mereka turut mempelajari teknik menghasilkan soft cookies, tartlet, cheese tart, kek, roti dan coklat.

Antara produk yang dihasilkan ialah tartlet shell, chocolate chip marshmallow cookies, nutella-stuffed chocolate chip cookies, chocolate burnt cheesecake dan decorated chill cake.

Peserta juga berjaya menghasilkan twisted sausage bun, korean garlic bun dan milk bun selepas mengikuti pembelajaran Topik 6, yang mengkhususkan tentang pembuatan pelbagai jenis roti.

Selain kemahiran kulinari, program itu turut memberi penekanan terhadap penghayatan Islam menerusi sesi tadabbur iaitu memfokuskan tentang makanan yang halal.

Peserta turut mengikuti bengkel forensik solat dan simulasi solat bagi meningkatkan kefahaman mengenai pelaksanaan ibadah berkenaan.

Dalam usaha memberi pendedahan kepada peserta mengenai pengurusan perniagaan makanan, mereka turut menyertai Bengkel Teknik Visual Kreatif untuk membolehkan peserta mengetahui teknik pengambilan gambar dan video yang betul.

Program itu turut merangkumi Kursus Latihan Pengendalian Makanan serta Bengkel Pemasaran Digital yang memperkenalkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Menerusi bengkel berkenaan, peserta mempelajari teknik menghasilkan poster promosi menggunakan AI dan menghasilkan poster masing-masing sebagai tugasan praktikal.

Pada hari terakhir, peserta mengikuti kelas handcrafted chocolate dengan mempelajari teknik menghasilkan hazelnut praline dan chocolate truffle.

Program berakhir dengan majlis penutupan dan penyampaian hadiah yang turut dihadiri Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu, Yang Berbahagia Datuk Dr Abdul Latiff Mirasa, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Nasyrul Quran dan Presiden Kolej Antarabangsa Restu.

Program Ma’idah Wanita Madani diharapkan dapat membantu para wanita mengembangkan kemahiran dalam bidang kulinari serta mempersiapkan diri ke arah bidang keusahawanan makanan.

You cannot copy content of this page