Sorakan peserta, alunan muzik tradisional dan persembahan kebudayaan mewarnai suasana Food Festival 2026 yang bertemakan ‘Colors of Malaysia’.
Program yang menghimpunkan warga Food Institute of Malaysia (FIM) itu bukan sekadar memperkenalkan kepelbagaian makanan tempatan, malah menjadi platform meraikan keunikan budaya pelbagai kaum.
Majlis yang berlangsung pada 29 Julai 2026 itu dimulakan dengan persembahan silat sebelum pentas diteruskan dengan tarian daripada pelajar India, persembahan piring lambung dan tarian tradisional zapin.
Suasana kemudiannya dimeriahkan dengan nyanyian lagu tradisional secara solo, persembahan tiga suara oleh pelajar FIM serta persembahan medley yang menghiburkan para pengunjung.
Selepas persembahan selesai, para tetamu mula beralih ke reruai jualan makanan untuk menikmati pelbagai hidangan yang ditawarkan.
Antara makanan yang dijual ialah sate, pisang goreng, chicken tender, savory chicken mac popia, char kuey teow, laddu, puding pandan karamel, ais batu campur (ABC), ais kepal dan air jagung.
Sementara itu, aktiviti permainan juga mula mendapat sambutan daripada para pengunjung.
Seawal pukul 11 pagi, orang ramai dilihat berkumpul dan mengambil bahagian dalam pelbagai permainan yang disediakan.
Antara permainan yang diadakan adalah alih getah pakai straw, isi air dalam botol menggunakan span, baling belon air menggunakan kain, masukkan bola dalam baldi dan cari gula-gula dalam tepung.
Setiap permainan bukan sahaja menguji kepantasan dan kreativiti peserta, malah menaikkan semangat berpasukan apabila semua peserta saling memberi sokongan kepada diri masing-masing untuk menamatkan setiap cabaran.
Bagi penasihat program merangkap pensyarah FIM, Idil Ikhwan Mohamad, kejayaan festival tahun ini merupakan hasil komitmen semua pihak yang bertungkus-lumus memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan dengan baik.
Katanya, walaupun program berlangsung dengan lancar, masih terdapat beberapa perkara yang boleh diperbaiki bagi menjadikan penganjuran akan datang lebih berkualiti.
“Saya gembira kerana program ini berjaya dilaksanakan dengan baik. Saya berharap food festival akan datang dapat buat lebih baik lagi. Saya harap semua yang hadir berasa seronok dan menikmati setiap aktiviti yang diadakan,” katanya.
Mengulas pengalamannya menguruskan festival itu, beliau berkata, tahun ini merupakan kali kedua beliau diberi tanggungjawab sebagai penasihat program.
Pengalaman daripada penganjuran terdahulu banyak membantu dalam menyusun perjalanan program dengan lebih tersusun.
“Semasa kali pertama saya menguruskan food festival, saya masih baru dan banyak mengikut cara pengurusan jawatankuasa terdahulu. Kali ini, saya melihat ada penambahbaikan dari sudut aliran kerja (flow) yang lebih teratur dan setiap tugasan dapat diselesaikan dengan lebih cepat,” katanya.
Beliau turut menyifatkan aspek kebersihan sebagai antara penambahbaikan paling ketara dalam penganjuran kali ini.
“Perubahan seterusnya dari sudut kebersihan. Kalau dulu, tiada orang yang monitor, foodfest kali ini saya pantau yang menyebabkan tiada sebarang isu dari sudut hygiene dan sebagainya,” katanya.
Penganjuran festival ini sekali lagi membuktikan bahawa program yang menggabungkan elemen makanan, budaya dan aktiviti santai mampu mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat.
Lebih daripada sekadar sebuah festival, program itu menjadi ruang untuk pelajar menghargai kepelbagaian budaya Malaysia sambil membina semangat kerjasama antara pasukan.
