Kemeriahan terasa apabila pelajar dan staf FIM sama-sama bergabung menyertai pelbagai aktiviti dalam Sambutan Kemerdekaan Peringkat Food Institute of Malaysia (FIM) 2026.
Program anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar FIM dengan kerjasama Gabungan Perwakilan Pelajar Sesi 2025/2026 itu berlangsung selama dua hari, bermula 10 hingga 11 September di sekitar kawasan FIM.
Menariknya, pelajar dan kakitangan tidak menyertai aktiviti secara berasingan, sebaliknya digabungkan menjadi satu kumpulan.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk senam aerobik, lari dalam guni, baling selipar, bowling kelapa dan tarik tali.
Penglibatan bersama itu bukan sahaja memeriahkan suasana sambutan, malah memberi peluang kepada warga FIM daripada latar belakang berbeza untuk berinteraksi dan mengeratkan hubungan menerusi aktiviti santai serta permainan tradisional.
Pada hari kedua, program diteruskan dengan pertandingan sketsa kemerdekaan yang menampilkan kreativiti pelajar dalam menyampaikan mesej berkaitan semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara.
Program berkenaan dibuat melibatkan sekitar 150 peserta, selain 10 ahli jawatankuasa yang terlibat dalam menjayakan program.
Penganjuran Sambutan Kemerdekaan Peringkat FIM 2026 turut menjadi platform untuk menyemarakkan semangat patriotik, memupuk kerjasama dan perpaduan serta menggalakkan interaksi aktif antara pelajar dan kakitangan.
Melalui penglibatan bersama dalam aktiviti yang disediakan, warga FIM berpeluang menghayati semangat kemerdekaan dalam suasana yang lebih santai, ceria dan harmoni.
