buletin fim

Pelajar asnaf berpeluang belajar kulinari secara tajaan di FIM

by | May 21, 2026 | News-BM

FARAH AYUNI ZULKEFLI

 

Food Institute of Malaysia (FIM) memperkenalkan Program Tajaan Sijil Hospitaliti (TSH) sebagai satu inisiatif khas untuk memberi peluang kepada golongan asnaf bagi memperoleh ilmu dalam bidang kulinari dengan lebih mendalam.

Program ini memberi fokus kepada latihan kemahiran untuk memperoleh sijil kompetensi seni kulinari serta perkhidmatan makanan, di mana para pelajar akan menjalani pembelajaran secara teori dan praktikal di FIM selama enam bulan termasuk latihan industri.

Melalui pendekatan ini, pelajar bukan sahaja mempelajari asas memasak dan teknik penyediaan makanan, tetapi turut didedahkan kepada suasana pembelajaran yang lebih profesional dan berstruktur.

Inisiatif tajaan ini dilaksanakan dengan sokongan Jabatan Pengurusan Syariah PNB melalui Lembaga Zakat Selangor, khusus bagi membantu pelajar daripada golongan asnaf untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran tanpa perlu runsing memikirkan soal beban kewangan.

Sepanjang tempoh pengajian, tajaan merangkumi yuran pengajian, tempat tinggal serta makanan dan minuman.

Selain itu, pelajar juga akan menerima pelbagai kemudahan lain seperti apron, bahan-bahan latihan serta keperluan sepanjang sesi pembelajaran dan latihan berlangsung.

Sebagai nilai tambah kepada persediaan kerjaya mereka, pelajar turut diberikan Sijil Latihan Pengendali Makanan yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), suntikan Typhoid serta peluang penempatan latihan industri.

Program ini memberi ruang kepada pelajar untuk menimba ilmu dan kemahiran dalam bidang hospitaliti secara lebih teratur di FIM, sekali gus memperkukuhkan asas pembelajaran mereka dalam dunia kulinari.

You cannot copy content of this page