buletin fim

Ikon Bola Sepak Dunia Dedah Rahsia Kekal Cergas, Pemakanan Sihat Jadi Kunci Utama

by | Jun 30, 2026 | Events-BM, News-BM

FARAH AYUNI ZULKEFLI

 

Di Food Institute of Malaysia (FIM), konsep makanan seimbang menjadi salah satu ilmu yang diterapkan dalam silibus pembelajaran. Para pelajar didedahkan dengan asas pemakanan melalui subjek Pengenalan kepada Kebersihan dan Sanitasi Makanan pada semester pertama, serta Pengenalan Kepada Nutrisi pada semester keempat yang memberi pemahaman tentang kepentingan diet seimbang dan kebersihan makanan.

Dalam dunia sukan, disiplin menjaga pemakanan termasuk mengutamakan sarapan yang seimbang menjadi antara rahsia Cristiano Ronaldo mengekalkan prestasi di tahap tertinggi meskipun sudah berusia 41 tahun.

Kapten Portugal yang kini beraksi bersama Al Nassr itu masih mampu bersaing di pentas tertinggi bola sepak dunia hasil rutin harian yang memberi penekanan kepada pemakanan, latihan, rehat dan hidrasi.

Bagi Ronaldo, sarapan merupakan hidangan penting untuk memastikan tubuh memperoleh tenaga mencukupi selain membantu mengekalkan jisim otot.

Avokado menjadi antara menu wajib dalam hidangan paginya kerana mengandungi lemak sihat yang mampu membekalkan tenaga berpanjangan, meningkatkan rasa kenyang dan menyokong kesihatan jantung.

Beliau turut mengambil secawan kopi serta telur sebagai pelengkap sarapan. Kopi mengandungi antioksidan dan mikronutrien yang membantu meningkatkan tenaga, manakala telur membekalkan protein berkualiti tinggi bagi menyokong pembinaan serta pemulihan otot.

Menurut bekas cef peribadinya ketika bersama Juventus, Giorgio Barone, Ronaldo turut mengamalkan diet yang ketat dengan mengelakkan pengambilan gula halus, produk tenusu, roti dan makanan diproses.

Sebaliknya, pemenang lima kali Ballon d’Or itu mengambil lima hingga enam hidangan sehari dengan fokus kepada diet yang tinggi dengan protein.

Menu hariannya merangkumi ikan, ayam, daging lembu, telur, avokado, nasi dan minyak kelapa.

Bagi makan tengah hari, Ronaldo lazimnya memilih sayur-sayuran bersama ayam, ikan atau daging lembu bagi mendapatkan protein, serat, vitamin dan mineral yang diperlukan untuk mengekalkan prestasi di atas padang.

Hidangan makan malam pula mengekalkan konsep yang sama dengan sumber protein yang berbeza bagi memastikan dietnya lebih seimbang.

Dalam konteks pemakanan sihat, pendekatan seperti ini turut selari dengan asas ilmu nutrisi yang dipelajari dalam bidang kulinari dan pemakanan yang diajar di FIM. Rahsia kecergasan dan kesihatan yang dikongsikan oleh ikon bola sepak seperti Ronaldo ini mampu memberikan ilmu dan motivasi kepada peminat beliau serta kepada orang ramai dan wajar untuk dicontohi.

Sebagai bukti kepada pencapaian sepanjang karier profesionalnya, Cristiano Ronaldo berjaya meraih pelbagai kejuaraan bersama kelab dan skuad kebangsaan Portugal.

Beliau juga kini semakin hampir mencapai satu lagi pencapaian bersejarah apabila menghampiri rekod 1,000 gol sepanjang karier profesional.

Ronaldo sebelum ini turut menegaskan bahawa beliau akan terus beraksi selagi tubuhnya masih kekal cergas untuk bersaing di peringkat tertinggi.

 

You cannot copy content of this page